Usaha meringankan beban guru membawa makna besar kepada cara hidup rakyat

Tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengeluarkan arahan bagi pelaksanaan langkah segera ke arah kesejahteraan guru bukan saja merupakan usaha meringankan beban guru tetapi ia membawa makna lebih besar kepada cara hidup rakyat di negara ini.

Salah satu langkah yang diumumkan dalam kenyataan rasmi itu ialah memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran murid dan menambah beban tugas guru.

Begitu juga dengan langkah mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja.

Masyarakat guru kerajaan di negara ini amat besar. Terdapat beribu-ribu sekolah kerajaan, baik sekolah rendah mahupun menengah di seluruh negara.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk muda yang terus meningkat, maka dijangkakan banyak lagi sekolah baharu akan dibuka bagi menampung kemasukan murid-murid baharu.

Ini membawa kepada pertambahan bilangan guru kerajaan.

Guru-guru yang sedang berkhidmat, dan juga bekas guru yang kini baru bersara tentu faham apa yang dimaksudkan dengan langkah Kementerian Pendidikan untuk meringankan beban guru.

Begitu juga bagi ibu bapa yang mempunyai anak masih bersekolah yang prihatin dengan keadaan di sekolah mungkin faham apa yang dilalui oleh guru lebih-lebih lagi apabila ia memberi kesan kepada pembelajaran anak-anak mereka.

Selain guru yang terlibat secara langsung dengan keadaan sekolah, pihak yang memahami apa yang berlaku ialah pegawai dan kaki tangan kementerian itu sendiri.

Para aktivis dalam kesatuan guru juga memahami keadaan di sekolah berhubung dengan beban yang para pengajar tanggung.
Sudah tentu segala macam aduan berhubung beban guru yang berlebihan itu sampai kepada pihak kesatuan.

Bagi wartawan berpengalaman yang berada di meja pendidikan juga mengetahui mengenai beban guru. Tetapi hanya akhbar tradisional yang besar berkemampuan untuk mewujudkan meja pendidikan.

Kini media atas talian yang beroperasi secara kecil tidak akan mampu mempunyai meja pendidikan.

Tetapi bagi akhbar tradisional pun, yang tentunya mempunyai hubungan baik dengan kementerian akan berasa keberatan untuk melaporkan perkara-perkara buruk berkaitan guru dan sekolah.

Sementara itu anggota masyarakat yang tidak terlibat secara langsung dengan sekolah pasti sukar untuk memahami apa yang berlaku di sekolah, termasuk beban yang ditanggung oleh guru.

Mereka mungkin akan hanya mengetahui mengenai pendidikan sekolah melalui hasilnya. Lulusan sekolah yang memasuki institut pengajian tinggi atau pasaran pekerjaan akan memperlihatkan sama ada pendidikan yang mereka peroleh itu berjaya atau tidak.

Saya sebagai anggota biasa masyarakat, lebih-lebih lagi sebagai seorang pesara tentu tidak mengetahui apa yang ditanggung oleh guru yang menjadi beban kepada mereka.

Apa yang dikatakan beban ialah tanggungan berat hingga boleh menjejaskan kesejahteraan hidup seseorang dan mengganggu keberkesanan pekerjaan sebenar mereka.

Namun begitu, sebagai suami seorang guru yang baru bersara, saya sering mendengar rintihan dan keluhan mereka, daripada keadaan yang sejahtera 30 tahun dulu hingga ia berubah kepada suasana yang membebankan ini. Dengan hanya mendengar rungutan itu, ia sudah cukup membebankan.

Maka sememangnya wajar bagi menteri yang baharu itu untuk turun dan melawat sendiri sekolah serta mendengar secara langsung rintihan dan keluhan warga pendidik itu.

Ada pemerhati yang menyatakan bahawa menteri pendidikan wajar membincangkan rancangan besar untuk melakukan reformasi pendidikan dan bukan sering mengadakan lawatan ke sekolah.

Tetapi bagi saya, hanya dengan memastikan kesejahteraan guru, baru boleh dibincangkan perkara-perkara lain bagi melakukan perubahan. Kalau guru rasa terbeban dan menjejaskan kesejahteraannya, perkara-perkara lain tidak akan dapat dilakukan. Guru pula adalah tenaga utama bagi sebarang pelaksanaan reformasi pendidikan.

Sebenarnya langkah memansuhkan majlis dan sambutan yang tidak memberi impak besar kepada pengajaran dan pelajaran itu bukan saja merupakan suatu tindakan yang tepat tetapi ia memberi makna kepada perlunya perubahan budaya negara.

Umumnya, apa yang berlaku di sekolah mencerminkan masyarakat negara ini.

Apabila sekolah gemar mengadakan acara-acara yang walaupun tidak perlu, maka ia hanya menggambarkan bahawa masyarakat negara ini suka mengadakan majlis-majlis yang kurang berfaedah tetapi hanya membazir masa, wang ringgit dan tenaga.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

Sudah lama didengari keluhan sebahagian guru dan ibu bapa tentang selalu sangat diadakan majlis di sekolah. Jadi tentulah persoalannya ialah siapa yang suka sangat mengadakan majlis tanpa mengira kesannya kepada tugas hakiki.

Jadi sebenarnya apa yang telah berlaku ialah budaya negara ini memang gemar membuat majlis. Maka amalan ini berterusan setiap tahun tanpa sesiapa yang berkuasa dapat menghentikannya. Hinggalah menteri bertindak menghentikannya.

Jika melihat langkah ini sebagai suatu perubahan terhadap masyarakat, maka diharapkan apa yang berlaku di sekolah itu dicontohi oleh pihak-pihak lain di luar.

Itu yang dikatakan langkah meringankan beban guru membawa makna pada cara hidup rakyat.

Di peringkat selanjutnya, dalam kementerian lain juga perlu mengambil kira kesan yang akan berlaku jika sesuatu majlis dianjurkan.

Sama ada ia bermanfaat atau hanya membebankan kepada kaki tangan dan tidak memberi impak besar kepada tujuan pekerjaan hakiki mereka.

Pernah disebutkan bahawa masyarakat negara ini suka kepada majlis-majlis dan kemeriahan kerana sifat semula jadi rakyat yang suka bersosial dan bergembira.

Dalam erti kata lain, ada sebahagian anggota masyarakat negara ini tidak gemar untuk fokus kepada kerja. Akibatnya ia menjejaskan usaha orang lain yang mahu fokus dan produktif pada pekerjaannya.

Seringkali timbul juga persoalan, mungkinkah penganjuran majlis-majlis ini sebenarnya untuk mengharumkan nama sesebuah institusi di depan mata orang yang berkuasa, umpamanya tetamu VIP bagi mendapatkan dana bagi tujuan tertentu?

Atau menaikkan nama ketua institusi tertentu bagi membolehkannya mudah dinaikkan pangkat.

Jadi mungkinkah majlis dan penganjuran sambutan ini mengandungi unsur-unsur politik pejabat yang tidak profesional?

Banyak perkara yang perlu dibincangkan dan dilakukan jika mahu mengadakan perubahan terhadap negara ini. Dalam semangat Malaysia Madani, apa yang penting patut diubah ialah mentaliti dan budaya masyarakat.

Kejujuran dan amanah yang juga membawa maksud profesionalisme dalam pekerjaan wajar sentiasa diterapkan. Amalan lama yang menjejaskan usaha mahu memajukan negara mesti dihentikan.

Kemajuan negara bukan diukur daripada banyaknya dan hebatnya majlis-majlis yang diadakan tetapi ia dikira daripada berkesannya pendidikan negara hingga menghasilkan warga-warga negara bermutu yang mampu mewujudkan sebuah negara madani.

Ia merupakan seolah-olah suatu aspirasi yang sukar tercapai atau sebenarnya langsung tidak dapat dicapai.

Namun apabila melihat negara-negara tertentu di dunia, ada juga yang berjaya mewujudkan masyarakat lebih bersih dan cekap. Jadi aspirasi itu tidaklah mustahil untuk dicapai.

BACA JUGA: Bersikap positif memberikan kebahagiaan hidup bernegara

Tujuh langkah Kementerian Pendidikan untuk menjaga kesejahteraan guru