Bukan terus punggah duit KWSP, lebih baik guna rizab negara bantu rakyat
Oleh DR MUZAFFAR SYAH MALLOW
Pihak kerajaan perlu mencari langkah yang lebih sesuai bagi menghulurkan bantuan segera kepada rakyat selain membenarkan sekali lagi pengeluaran simpanan wang persaraan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Ketika itu, pihak kerajaan telah membenarkan pengeluaran duit KWSP melalui i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021 dan yang terakhir pada 16 Mac 2022 yang lalu melalui pengeluaran khas sebanyak RM10,000.
Pengeluaran demi pengeluaran dari simpanan persaraan KWSP ini telah menyebabkan ramai pencarum tidak memiliki jumlah simpanan persaraan KWSP yang mencukupi setelah mereka bersara kelak.
Penularan virus Covid-19 semenjak awal tahun 2020 lalu telah banyak merubah kehidupan semua orang di serata dunia tidak terkecuali Malaysia.
Akibat penularan virus Covid-19 ini dalam negara kita, pelbagai langkah drastik terpaksa diambil bagi membendung penularannya.
Antara langkah paling drastik sekali yang telah diambil ialah dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perintah PKP ini telah menyebabkan banyak sektor perniagaan, ekonomi dan pekerjaan ditutup.
Penutupan sektor-sektor ini telah menganggu kehidupan ramai pihak. Antara yang paling terjejas adalah golongan peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri. Sumber pendapatan orang ramai juga banyak yang terjejas.
Walaupun perintah PKP secara ketat ini dilihat sudah sampai ke penghujungnya, penularan virus Covid-19 ini dalam negara kita masih belum berakhir.
Pelbagai langkah lain yang terpaksa diambil bagi melindungi tahap kesihatan dan keselamatan orang ramai daripada dijangkti Covid-19 ini serta mutasi-mutasi yang muncul dari virus Covid-19 berkenaan yang lebih berbahaya dan mudah menjangkiti orang ramai.
Ini ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu serta isu inflasi dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang dialami di semua negara termasuk Malaysia pada masa kini.
Pelbagai langkah drastik juga terpaksa diberi bagi memastikan semua pihak yang terjejas dengan penularan Covid-19 serta masalah ekonomi dan inflasi ini dapat meneruskan kehidupan mereka.
Antara langkah yang diambil adalah dengan membenarkan orang ramai mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka dari KWSP. KWSP yang ditubuhkan pada 1951 merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan terbesar di dunia.
Wang simpanan KWSP ini adalah penting untuk kegunaan pekerja selepas mereka bersara kelak. Kita tidak tahu selama mana kita akan hidup selepas bersara nanti.
Wang simpanan KWSP perlu dijaga dengan baik dan tidak disentuh sebelum tiba masa untuk bersara. Banyak perkara luar jangka yang boleh berlaku pada diri seseorang selepas mereka mencapai usia untuk bersara nanti.
Oleh itu, adalah penting supaya mereka memiliki sejumlah wang yang mencukupi bukan sahaja untuk memenuhi keperluan mereka kelak malah untuk menampung segala perbelanjaan luar jangka yang boleh berlaku kepada diri mereka seperti perbelanjaan untuk kesihatan dan kecemasan.
Oleh itu, pihak kerajaan perlu mencari langkah lain selain daripada membenarkan rakyat menyentuh atau mengunakan wang simpanan persaraan dari simpanan KWSP mereka.
Antara langkah yang sepatutnya diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan adalah untuk pihak kerajaan menggunakan wang rizab negara yang berbilion ringgit itu bagi membantu mereka yang masih terjejas pendapatan dan mengalami masalah kos sara hidup.
Walaupun pihak kerajaan mempunyai pertimbangan yang lebih penting untuk menggunakan wang rizab negara, namun kebajikan dan keperluan rakyat ketika ini perlu diberi keutamakan.
Penularan pandemik telah menjejaskan kehidupan ramai pihak khususnya mereka yang tidak memiliki pendapatan tetap. Keadaan ekonomi dunia yang masih malap serta isu inflasi yang belaku ketika ini juga menuntut penyelesaian segera daripada pihak kerajaan.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya pihak kerajaan memberi keutamaan bagi menghulurkan bantuan segera kepada golongan yang terjejas dalam negara kita.
Rizab negara kita adalah besar, tidak salah untuk mengunakan sedikit wang rizab ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam negara kita.
Rizab negara yang telah disimpan selama bertahun-tahun ini harus dimanfaatkan untuk rakyat yang memerlukan bantuan pada waktu terdesak ini, barulah rakyat akan lihat kerajaan benar-benar sayang dan prihatin kepada kehidupan mereka dan memahami segala kesukaran yang terpaksa dilalui oleh mereka pada ketika ini.
*DR MUZAFFAR SYAH MALLOW merupakan pensyarah di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
BACA JUGA Lepas kerajaan bertegas tiada pengeluaran, Shahidan masih bawa usul keluar KWSP
Â