Harapkan Belanjawan 2023 Kerajaan Perpaduan utamakan isu rakyat
Kerajaan Perpaduan buat pertama kalinya akan membentangkan Belanjawan 2023 yang mengambil kira cabaran ekonomi semasa tetapi boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta memberi rahmah kepada rakyat Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata isu terkait rapat dengan kehidupan rakyat harus diberikan keutamaan meskipun kerajaan kini mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global.
“Keadaan fasiliti yang dimiliki oleh Kerajaan Perpaduan hari ini tidak seperti mana dahulu kerana harga barangan sudah meningkat dan ditambah pula peningkatan hutang negara.
“Dengan sumber kewangan yang terhad, diharap pembentangan Belanjawan 2023 dapat mengutamakan penyelesaian isu-isu yang dibebani oleh rakyat terbanyak saat ini,” katanya kepada Harapan Daily dalam wawancara eksklusif pada hari Selasa.
Menurut beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Perpaduan termasuk isu harga barang, gaji dan pendapatan yang dekat dengan rakyat.
Kata Chua, seiring dalam usaha menangani cabaran kos sara hidup yang kian meningkat, kerajaan diharap akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar bagi melindungi rakyat susah melalui inisiatif-inisiatif yang bakal diumumkan.
Pada masa yang sama, beliau turut berharap kerajaan dapat menjana peluang pekerjaan berkualiti selaras dengan usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Selain daripada itu, pendapatan negara dapat ditingkatkan sekiranya negara ini dapat mencipta lebih banyak lagi peluang pekerjaan termasuk menghasilkan tenaga kerja terdidik.
“Kerajaan juga perlu memikirkan untuk mengembalikan semula rakyat berkemahiran tinggi dan berbakat dalam bidang profesional yang memilih berkhidmat di luar negara supaya mereka dapat menyumbang untuk peningkatan ekonomi dan juga pendapatan di negara ini,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa cabaran negara sebenarnya bukan bagaimana untuk menarik bakat asing tetapi bagi mendapatkan bakat tempatan kita yang berkemahiran tinggi di luar negara untuk kembali ke negara ini.
Kerajaan Perpaduan akan membentangkan Belanjawan 2023 yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi pada 24 Februari ini di Parlimen.
Belanjawan 2023 ini akan merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakelola kerajaan.
BACA JUGA: Naik taraf jalan RM227 juta surai kesesakan di Rawang
Â