Kalau Zahid dalang, kenapa dia masih perlu turun naik mahkamah?

“Yang istihar darurat PPBM, yang agih projek PPBM, yang terima komisyen PPBM, yang dipersalahkan Datuk Zahid.”

Ini yang memeningkan Umno dan penyokong mereka, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

“Apalah. Inilah kluster mahkamah 2.0,” kata Lokman menerusi siaran live yang beliau buat melalui Facebooknya.

Lokman yang baru diberikan jawatannya kembali selepas digantung oleh Umno berkata, sampai hari ini Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri masih turun naik mahkamah berikutan dakwaan rasuah ke atas beliau.

“Kalau dia boleh susun untuk tindakan diambil ke atas pemimpin PPBM, kenapa dia perlu turun naik mahkamah. Selesaikanlah di luar mahkamah,” kata Lokman.

Lokman menyifatkan Wan Saiful sebagai sebahagian Kluster Mahkamah 2.0

Lokman merujuk kepada dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi dalang di sebalik dakwaan ke atas pemimpin PPBM.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa berjumlah RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Turut didakwa adalah Timbalan Ketua Bersatu bahagian Segambut, Adam Radlan Adam Muhamad turut dikenakan tiga pendakwaan kerana rasuah.

Semalam beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini beliau dikenakan dua lagi pendakwaan di Mahkamah Shah Alam dalam skandal Jana Wibawa.

 

BACA JUGA Pemimpin Bersatu dikenakan 2 lagi tuduhan rasuah berkait Jana Wibawa

JUGA Nasib Wan Saiful, parti Melayu Bumiputera dan rasuah

DAN JUGA Zahid, dalang yang heret Bersatu ke mahkamah, dakwa Mahiaddin