Rasuah: Projek jalan di Perlis RM7 juta atau RM47.8 juta?

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Noor Amin Ahmad membangkitkan persoalan sama ada satu projek membina jalan secara rundingan terus sama ada bernilai RM7 juta atau RM47.8 juta.

Bekas Ahli Parlimen Kangar itu berkata, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk kerja-kerja bagi membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat dinyatakan dalam hansard sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berjumlah RM7 juta.

Walau bagaimanapun, ujarnya, laporan media bagi projek yang membabitkan pertuduhan terhadap Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, memetik mengatakan sebanyak RM47.8 juta.

“Adakah media tersalah petik? Atau angka RM7 juta adalah untuk sebahagian kerja awal? Atau kerana runding terus, jumlahnya meningkat begitu tinggi?

“Penjelasan diperlukan,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau membangkitkan kemusykilan itu susulan dua pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam terhadap Adam Radlan yang didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.

Adam Radlan Adam Muhammad

Namun, pemimpin Bersatu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Berdasarkan pertuduhan, Adam Radlan, 42, didakwa meminta wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima bagi projek di bawah program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Adam turut didakwa menerima suapan RM500,000 menerusi akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang bernilai RM47.8 juta.

Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, di ibu negara pada Mac dan 26 November 2021.

Siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

BACA JUGA Lagi pemimpin Bersatu dituduh rasuah, minta suapan RM500,000 projek bina jalan