MP Pas melenting disindir Rafizi boleh seminggu selesai masalah

Ahli Parlimen Bagan Serai dari Pas, Datuk Idris Ahmad dilihat melenting selepas disindir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semasa sidang Dewan Rakyat semalam.

Naib Presiden Pas itu bingkas bangun sejurus Rafizi memetik namanya selepas asakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berhubung formula menurunkan harga barang.

“Saya ingat bahawa, yang boleh menyelesaikan masalah dalam masa seminggu ini… Bagan Serai.

“Yang itu, yang saya ingat masa dia mula jadi menteri,” bidas Rafizi.

Serentak itu, Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada era kerajaan Perikatan Nasional (PN), bersuara dengan nada tinggi mempersoal mengapa Bagan Serai disebut.

“Jangan buat cerita pelik-pelik ni,” kata Idris Ahli Majlis Syura Ulama Pas berusia 60 tahun itu.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam reaksi balasnya berkata, “Saya boleh hantar (klip ceramah) kepada Bagan Serai” sebelum dicabar pula oleh Idris.

“Hantarlah! Bila saya bercakap bab ekonomi?” bentak Idris lagi.

Malah, pemimpin Pas berkenaan mendakwa Rafizi sejak berada di blok pembangkang mahupun kini dalam kerajaan mempunyai ciri merosakkan negara.

“Sejak pembangkang jadi kerajaan, inilah dia watak yang merosakkan negara.

“Saya tak pernah… (menyebut mampu menyelesaikan masalah dalam tempoh seminggu),” katanya sambil duduk dengan wajah yang kelihatan amat marah.

Beberapa tahun lalu, tular sedutan ceramah Idris yang yakin menegaskan bahawa mampu melaksanakan perubahan hanya dalam tempoh lima hari bukannya satu penggal pentadbiran kerajaan.

“Bukan lima tahun, lima hari sahaja kita perintah. Kita akan tengok berubah lagu (macam) mana. Hah, tuan-tuan akan tengok nanti,” katanya dilihat begitu yakin.

Semakan Harapan Daily mendapati Idris berkata demikian semasa ceramah di Tanah Merah, Kelantan pada akhir tahun 2012 iaitu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ketika Pas berada dalam gabungan Pakatan Rakyat.

BACA JUGA Dr Halimah diusul agar diheret ke JK Hak dan Kebebasan