Sultan Selangor pengerusikan hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara hari ini.

Baginda diiringi oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berangkat menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat selama dua hari bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 November lalu yang dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berkenan berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tuanku Muhriz dan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah manakala Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Kelantan pula diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Al-Sultan Abdullah berbual bersama Sultan Sharafuddin ketika tiba untuk menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara pada 23 Februari 2023. Foto FB Amirudin Shari

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri mesyuarat tersebut,

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri sementara Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Semalam Al-Sultan Abdullah dan Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan upacara menanam pokok Sepang (Caesalpinia sappan) di pekarangan Istana Negara bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-261.

Upacara penanaman pokok ini adalah sebagai simbolik Sultan Sharafuddin mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Sebelum upacara tersebut, Sultan Selangor berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Dataran Utama.

BACA JUGA: Selangor catat lebihan pendapatan tiga tahun berturut-turut