Selangor catat lebihan pendapatan tiga tahun berturut-turut

Selangor mencatatkan lebihan pendapatan tiga tahun berturut-turut hasil daripada kecekapan tadbir urus kerajaan negeri yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan memperoleh pendapatan melepasi sasaran ditetapkan itu diraih walaupun kerajaan negeri berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan politik di peringkat Persekutuan.

“Itulah sikap kita sejak beberapa tahun lalu hingga tertubuhnya Kerajaan Perpaduan kerana pentadbiran kerajaan negeri ini sentiasa meletakkan keutamaan sebelum aspek-aspek lain.

“Sebab itu, walaupun kita berdepan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik itu, bencana banjir besar pada tahun 2021, tanah runtuh pada akhir tahun lalu, kerajaan negeri terus gagah, pasukan kerajaan negeri terus bersatu dan bermuafakat sebagai satu pasukan.

“Kita buktikan daripada segi angka, tahun ini adalah tiga tahun berturut-turut negeri mencatatkan lebihan daripada sasaran pendapatan yang dibuat dalam Belanjawan 2022,” katanya sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata kerajaan negeri berkerjasama dengan nilai profesionalisme termasuk semasa menangani pandemik Covid-19.

“Di saat kita berdepan dengan cabaran Covid-19 dengan kes (jangkitan) paling tinggi, kita melaksanakan vaksinasi dengan pembiayaan kerajaan negeri sendiri serta program saringan yang tersusun dan tersasar.

“Dengan siri PKP, ini dibuat bukan dengan suka-suka, walaupun ada yang menempelak dan sinikal, kononnya ini sengaja diadakan kerajaan negeri semata-mata nak tunjuk perbezaan.

“Namun, kita buktikan dengan pentadbiran ini bahawa rakyat dengan kemaslahatan negeri menjadi keutamaan, kita cuba bekerjasama dengan nilai profesionalisme.

“Buktinya, Alhamdulillah, walaupun bersilih ganti pentadbiran di peringkat Persekutuan, pentadbiran kerajaan negeri berjaya mengolah pentadbiran ini,” ujar Naib Ketua PKR itu lagi di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz.

Baca juga Konvensyen Pilihan Raya Negeri bermula 14 Januari