Tokoh intelektual Islam Dr Kamal Hassan meninggal dunia

Tokoh intelektual Islam terkemuka Tan Sri Prof Emeritus Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia awal pagi ini setelah mengalami komplikasi selepas pembedahan.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam kenyataan berkata pengerusinya itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.27 pagi.

Jenazah bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu akan disolatkan di Surau al-Mawaddah, Bandar Baru Bangi kira-kira pukul 11 pagi ini.

Pengerusi surau berkenaan Datuk Othman Desa memberitahu jenazah Almarhum akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang.

“Dengan rasa dukacita yang amat mendalam, Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan semua warga IKIM, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Prof Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal bin Hassan, Pengerusi IKIM yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 2.27 pagi, 23 Februari bersamaan 2 Syaaban.

“Kami memanjatkan doa yang setinggi-tingginya kepada Allah SWT, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para orang-orang soleh dan solehin,” kata IKIM pagi ini.

Dr Mohd Kamal dilantik sebagai pengerusi IKIM pada 25 Februari 2022.

Almarhum Dr Mohd Kamal, 80, merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Dilahirkan pada tahun 1942 di Pasir Mas, Kelantan, mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada tahun 1965 dan kemudiannya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Columbia University, New York pada tahun 1975.

Keilmuan serta ketokohan beliau diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau pernah diamanahkan sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1999 sehingga 2006.

Beliau turut berperanan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Selain ilmuwan dalam bidang Usuluddin, beliau juga antara tokoh awal yang turut membicarakan perihal sastera Islam di Malaysia sejak tahun 1970-an.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menziarahi Dr Kamal sebelum beliau menjalani pembedahan di hospital.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi Dr Kamal Hassan ketika menerima rawatan di Hospital Selayang pada Januari lalu.

Dalam pada itu, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir yang sedang mengerjakan umrah berkata setiap hari beliau mengikuti perkembangannya dari Hospital Selayang melalui Datuk Dr Rais Hussin yang juga merupakan anak murid Allahyarham.

“Terlalu besar jasanya membangunkan pendidikan tinggi negara. UIA adalah sinonim dengan namanya.

“Saya antara orang terakhir yang beliau benarkan untuk bertemunya sebelum keesokan paginya untuk menjalani pembedahan beberapa minggu yang lalu,” katanya yang merupakan generasi pertama UIAM pada 1983.

BACA JUGA: PM Anwar dianggap ‘tegur’ masalah peralatan hospital rosak