Belanjawan 2023: Antara cabaran dan harapan

Cabaran terbesar untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dalam membentangkan Belanjawan 2023 ialah menjadikannya belanjawan pilihan raya. Umumnya ini adalah kaedah yang digunakan oleh kerajaan – kerajaan terdahulu.

Hanya kerana pilihan raya tahun ini merupakan pilihan raya tidak bermakna ia kurang penting. Sebenarnya belanjawan yang akan dibentangkan pada petang ini penting dalam konteks pilihan raya negeri.

Besar kemungkinan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan memperoleh peruntukan yang besar memandangkan negeri Kedah mempunyai kawasan luar bandar yang tinggi berbanding dengan Selangor dan Negeri Sembilan.

Perkara yang perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023 ialah: Dari mana dan bagaimana kerajaan dengan gagasan Malaysia Madani akan mendapatkan perolehan sumber wang?

Perkara ini penting kerana rakyat dari kumpulan B40 dan M40 mahukan suntikan wang segera menerusi pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Walau bagaimanapun kerajaan tetap dengan pendirian mengekalkan KWSP sebagai simpanan hari tua bukannya kad ATM untuk suntikan wang segera.

Ketika kerajaan terdahulu memperkenalkan pengeluaran wang KWSP negara -negara lain tidak menggunakan kaedah tersebut. Singapura umpamanya mendapatkan suntikan dana asing yang telah diberikan kepada warga mereka.

Selain itu, peruntukan yang lebih besar untuk Kementerian Kesihatan diharap dapat menyelesaikan permasalahan di hospital awam.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sendiri telah pun menyatakan bahawa kekangan kewangan menyebabkan pihaknya tidak dapat menyerap doktor-doktor kontrak.

Sebagai rakyat kita juga perlu melihat dan menyokong kerajaan dalam usaha membendung kenaikan inflasi kerana kenaikan peratus inflasi akan memberikan kesan buruk kepada kita sebagai individu, masyarakat dan negara.

Untuk rakyat kebanyakan, kos sara hidup yang meningkat adalah masalah terbesar mereka. Kita sedar Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup adalah langkah jangka pendek.

Belanjawan 2023 mempunyai langkah jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi masalah ini.

Pada bulan lalu, laporan Prospek Ekonomi Global oleh Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4 peratus. Syarikat MARC Research pula lebih optimistik dalam menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar ialah pada 4.2%

Di peringkat individu, angka-angka ini tidak bermakna sekiranya tiada peningkatan gaji dan Malaysia selama ini pun menyaksikan peningkatan gaji yang sangat kecil iaitu kurang dari 2 peratus.

Apa pun kita tunggu dan lihatlah pembentangan belanjawan petang ini.

BACA JUGA: Lepas kerajaan bertegas tiada pengeluaran, Shahidan masih bawa usul keluar KWSP

Â