Kakitangan awam dapat bantuan khas RM700 sempena Aidilfitri

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam menjelang kedatangan Ramadan dan bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka.

Perdana Menteri berkata bantuan itu melibatkan semua kakitangan kerajaan Gred 56 ke bawah termasuk lantikan
kontrak selain RM350 disalurkan kepada pesara.

“Insya-Allah, bayaran akan dibuat pada bulan April 2023,” katanya dalam Belanjawan Madani 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan penyelamat negara yang terlibat di dalam misi di Turkiye dan Syria.

“Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan,” kata Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, kata Anwar susulan kenaikan kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) daripada 160 kepada 180 hari, kerajaan berhasrat untuk meneruskan cadangan menaikkan kebenaran penebusan awal GCR sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari.

Ikhtiar ini diharap membantu penjawat awam yang memerlukan, katanya.

“Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan setia menggalas amanah negara.

“Ke arah Malaysia Madani, penjawat awam perlu segera bawa perubahan, menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

BACA JUGA: Pesawah terima tunai RM200, bantuan pekebun kecil getah naik RM800