‘Jangan berlumba dengan Pas, PH bawa Islam Rahmah bangunkan rakyat Malaysia’

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan bahawa tidak perlu berlumba dengan Pas yang kini berada dalam blok Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, gagasan rahmah akan memacu hasrat Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Jangan berlumba dengan Pas untuk menunjukkan siapa lebih Islam. Kita kena yakinkan rakyat bahawa Islam yang PH bawa adalah Islam Rahmah yang akan membangunkan seluruh rakyat Malaysia

“Dengan gagasan Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahmah akan jadi pemacu untuk menjayakan cita-cita kita dalam negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Konvensyen PH Kedah di Dewan Persatuan Pendidikan Akhlak Lip Seang Kor, Sungai Petani semalam.

Dalam konvensyen dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada pimpinan PKR, AMANAH dan DAP itu, tiga kertas kerja dibentangkan.

Selain Mujahid, dua lagi pembentang ialah Ketua Setiausaha PH merangkap Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer.

 

BACA JUGA PH mesti ambil semula Kedah