Kursus haji TH tarik perhatian menteri Arab Saudi

Kursus asas haji melibatkan bakal jemaah Malaysia yang dijalankan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam menarik perhatian Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi.

Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah bersama delegasi membuat lawatan kerja meninjau pengendalian siri kursus asas haji yang berlangsung di Masjid Negeri itu.

Beliau diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Nai’m MokhtDr. Tawfiq Fauzan bersama delegasi telah diberikan taklimat berkaitan operasi dan pengendalian kursus asas haji yang berlangsung di seluruh negara.

“Ini adalah usaha Tabung Haji (TH) untuk memastikan bakal jemaah diberikan pengisian ilmu supaya dapat melaksanakan ibadat haji nanti dengan ilmu dan kefahaman.

“Kursus ibadat haji adalah merangkumi pelbagai aspek hukum hakam, tatacara termasuk penjagaan kebersihan kendiri dan sebagainya,” kata Mohd Na’im dalam kenyataan pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar, Duta Arab Saudi di Malaysia Mesaad Ibrahim Al-Sulaim dan Ketua Pengawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.

Dr Tawfiq dan Mohd Na’im bergambar bersama bakal jemaah haji yang menjalani kursus asas ibadah itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , Shah Alam pada 26 Februari 2023. Foto FB Mohd Na’im Mohktar

Mohd Na’im berkata pihaknya amat berbesar hati kerana Dr Tawfiq Fauzan sudi untuk meninjau sendiri usaha-usaha yang dilakukan oleh TH.

“Semoga usaha Kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji menjadi contoh kepada dunia khususnya dalam pengurusan jemaah haji.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Tabung Haji, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan semua peserta Kursus Asas Haji,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata delegasi Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi bersama turut dibawa meninjau lokasi operasi haji yang dikendalikan oleh TH di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang.

“Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah telah diberikan taklimat gerak kerja operasi haji setiap tahun yang diurus Tabung Haji.

“Tabung Haji sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya. – Harapan Daily