Malaysia dapat kembali kuota 31,600 jemaah haji

Kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota haji bagi rakyat Malaysia untuk musim haji tahun ini kepada 31,600 jemaah.

Kuota berkenaan diturunkan sebelum ini berikutan langkah langkah ketat berhubung prosedur mengerjakan haji sewaktu wabak Covid 19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata keputusan itu diperolehinya dalam mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia sempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan oleh Kerajaan Arab Saudi semalam.

Menurut Dr Mohd Naim lagi, dalam mesyuarat tersebut, Dr Tawfiq Fawzan memuji Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian jemaah yang baik, sistematik dan tahap layanan yang patut dicontohi.

“Saya telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Sehubungan dengan itu, saya sukacitanya mengumumkan Kuota Haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk tahun 1444H/2023M,” katanya dalam kenyataan.

Dr Mohd Naim turut mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima itu pada tahun ini.

BACA JUGA Kaitan skandal rasuah Adam Radlan dengan Mahiaddin Yassin