Lapan pemimpin Umno sah rebut jawatan naib presiden
Lapan pemimpin Umno sah akan merebut jawatan naib presiden parti itu pada pemilihan, 18 Mac depan.
Tiada pencalonan baharu bagi jawatan itu diterima sehingga tempoh mengemuka pencalonan berakhir jam 5 petang tadi, kata Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Datuk Mustapha Yaakub.
Menurutnya, dipetik BH, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan mengumumkan senarai yang penuh dan rasmi esok.
Lapan pemimpin terbabit termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Turut berebut jawatan nombor tiga itu ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
BACA JUGA Umno kini sahabat meski perlu ‘kahwin paksa’ tubuh kerajaan – Mohamad Sabu