Malaysia kemuka permohonan tambah kuota haji 31,950 jemaah tahun depan

Malaysia mengemukakan permohonan kepada Arab Saudi agar menambah  kuota rasmi haji kepada 31,950 jemaah bagi tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk  Mohd Na’im Mohktar berkata perkara itu selaras  dengan pertambahan jumlah penduduk negara ini menurut prospektus populasi 2019 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa iaitu seramai 31.95 juta.

“Bagi membolehkan lebih ramai umat Islam di Malaysia menunaikan fardu haji, kita juga memohon pertimbangan khas dari Kerajaan Arab Saudi.

“Semoga segala perancangan dan usaha kita dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan.

Semalam  Mohd Na’im mengadakan mesyuarat bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi  Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah  serta delegasi beliau sempena lawatan kerja tiga hari ke Malaysia sejak 25 Februari lalu.

“Saya secara peribadi amat bersyukur dan berbesar hati kerana kunjungan Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah amat penting bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutamanya yang melibatkan hal-hal berkaitan haji dan umrah.

“Beliau sentiasa memuji usaha Tabung Haji dalam pengurusan jemaah haji,” katanya.

Laporan pada 10 Januari lalu menyebut Kerajaan Arab Saudi mengembalikan kuota haji bagi rakyat Malaysia untuk musim haji tahun ini kepada 31,600 jemaah.

Kuota berkenaan diturunkan sebelum ini berikutan langkah langkah ketat berhubung prosedur mengerjakan haji sewaktu wabak Covid 19.