Mat Sabu mahu lihat 10 tahun lagi petani jadi pilihan dibuat ‘menantu’
Dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan golongan petani, Datuk Seri Mohamad Sabu bertekad mahu menjadikan sektor pertanian dalam negara sebagai satu bidang kerjaya yang dibanggakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, tidak mahu pekerjaan sebagai petani dilihat sebagai kerja yang memalukan, sebaliknya mahu ia dipandang sebagai potensi besar dijadikan kerjaya buat anak muda
Secara bersahaja Mohamad berkata, beliau mahu 10 tahun akan datang, golongan petani menjadi pilihan ‘menantu’ dan dipandang orang.
“Dulu pada tahun 60-an, kalau nak pergi meminang anak orang, askar yang dapat sambutan paling tinggi sebab isteri dapat elaun RM50.
“Tahun 80-an pula, cikgu jadi pilihan wanita sebab segak. Tahun 2000 ke atas, ‘supervisor’ kilang pula jadi rebutan sebab gaji yang baik.
“Saya mahu 10 tahun lagi pilihan gadis jelita ialah para petani kerana saya lihat perubahan ini sedang berlaku,” katanya dalam temubual baru-baru ini.
Presiden AMANAH itu juga berkata, beliau melihat anak-anak muda sudah mula menceburkan diri dalam bidang pertanian, mengusahakan tanah-tanah sebagai kerja tetap mereka.
Beliau meluahkan rasa bangga melihat anak muda mula menerapkan penggunaan teknologi dalam pertanian seperti membawa dron untuk menabur baja, benih dan sebagainya.
“Bila kita tanya petani, kamu kerja apa? Dia jawab ‘aku tak ada kerja, aku buat bendang saja’. Dia anggap buat bendang itu bukan kerja.
“Saya harap dapat beri penekanan terhadap usaha angkat golongan petani. Saya akan beri motivasi, saya akan bercakap pada golongan petani supaya berlaku perubahan minda orang yang terlibat dalam bidang pertanian ini,” katanya lagi.
BACA JUGA Mohamad Sabu kini bergelar Datuk Seri