PH Negeri Sembilan yakin mampu pertahan kesemua 20 kerusi DUN

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yakin dapat mempertahankan kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Ismail Ahmad berkata, kerjasama Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) boleh memberi peluang lebih cerah untuk mendominasi jumlah kerusi DUN.

“Kalau ikutkan kerjasama Kerajaan Perpaduan melibatkan komponen parti termasuk PH-BN, peluang kita untuk menang lebih tinggi kerana sokongan blok penyokong BN beralih kepada kita.

“Secara tidak langsung, peluang untuk PH mengekalkan kemenangan di DUN Labu lebih cerah.

“Saya yakin prestasi khidmat yang ditunjukkan sedikit sebanyak boleh mengekalkan kemenangan PH di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily baru-baru ini.

Wakil rakyat PKR berkata demikian apabila diminta menjelaskan mengenai kerjasama PH-BN serta kesiapsiagaan jentera PH di kawasannya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Cabang Parlimen Rasah berkata, aspek prestasi calon juga penting bagi menarik hati pengundi atas pagar.

“Kemampuan calon itu yang perlu diambil berat kerana pengundi lebih tertarik dengan kekuatan calon berbanding faktor parti sahaja,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ismail yang merupakan Naib Pengerusi 1 PKR negeri, berpendapat kerjasama PH-BN dalam PRN boleh mengekalkan dominasi kerusi DUN terutama di kawasan diwakilinya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ismail menang dengan majoriti 882 undi manakala Hasim Rusdi dari BN mendapat 5,830 undian.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri di bawah pentadbiran PH dan PN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun depan.

BACA JUGA Ini cerita daerah paling bahagia di Negeri Sembilan