Reformasi parlimen dengan Akta Perkhidmatan Parlimen

Kerajaan komited untuk melaksanakan reformasi institusi Parlimen dengan mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi merealisasikan hasrat pengasingan kuasa antara badan legislatif dan eksekutif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya-GPS) berkata, pada ketika ini kerajaan sedang mengkaji keperluan menggubal akta tersebut.

Menurutnya, penggubalan akta ini akan dimuktamad selepas dibentang dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Pada ketika ini kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan perkhidmatan Parlimen yang berasingan daripada perkhidmatan awam.

“Beberapa perkara dasar berhubung penggubalan akta perkhidmatan Parlimen akan dimuktamadkan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi semasa menjawab soalan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota-PN) salam sesi soalan perdana menteri.

Tambah Fadillah, bengkel reformasi institusi telah diadakan pada 17 Januari lalu melibatkan agensi kerajaan dan kumpulan organisasi masyarakat sivil serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi fokus kepada reformasi perundangan dan institusi negara.

Jelasnya, siri libat urus bersama kementerian, jabatan dan agensi berkepentingan akan diteruskan bagi memuktamadkan cadangan reformasi institusi yang ingin dilaksanakan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Selain itu kerajaan juga berhasrat mewujudkan sistem dan pengurusan pilihan raya yang berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi yang diterima semua pihak sebagai bebas adil dan telus, kata Fadillah.

BACA JUGA: Akta Perkhidmatan Parlimen akan kembali