Amirudin bidas Shahidan, PN pun tidak beri bonus sampai RM1,000

Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) pulangkan paku buah keras kepada Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang menghentam kerajaan berhubung isu bonus penjawat awam.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor membidas kenyataan Shahidan yang menyebut jika PN memerintah mereka pasti akan memberikan bonus sebanyak RM2,000 kepada kakitangan kerajaan.

“YB Arau, saya nak tanya sebelum ni Arau dalam Kabinet pun, tak sampai RM1,000 pun bagi bonus. Dah jadi pembangkang baru nak bagi RM1,000. Inilah masalah pembangkang,” bidasnya dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Terdahulu Shahidan dalam ucapannya berkata kerajaan Pusat seharusnya menaikkan bonus penjawat awam dari RM700 kepada RM1,000.

Kerana katanya, jikalau PN memerintah pun, mereka akan menaikkan kepada RM2,000.

“Berkenaan elaun pegawai kerajaan, YB Tambun terima kasih. Saya cadangkan dalam keadaan yang teruk ini, bagilah RM1,000 kepada pegawai-pegawai kerajaan. Kesian.

“Kalau kami memerintah sudah pasti kami naikkan sampai RM2,000,” katanya.

Shahidan turut menyatakan Belanjawan 2023 sebagai ‘balas dendam’ apabila menyatakan; “Yang Berhormat kalau nak balas dendam, anggaplah ini Madani balas dendam. Ini madani YB, mestilah kena ada pemikiran baru.”

Bagaimanapun Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mencelah; “Kan kerajaan dah bagi RM700. Dah bagi dah RM700.”

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan Aidilfitri atau bonus sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah.

Bonus raya RM700 itu dibayar bermula April.