Dewan Rakyat kecoh, Shahidan samakan Sany dengan ‘kera di hutan’

Dewan Rakyat bertukar kecoh selepas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa mengeluarkan perkataan tidak berparlimen kepada Sany Hamzan (Hulu Langat-PH).

Ketika ucapan perbahasan perbekalan 2023, Arau menyamakan Sany dengan kera kerana dianggap mengganggu perjalanan perbahasannya.

“Saya kesal kepada Hulu Langat yang perangai lebih teruk dari kera di hutan,” kata Shahidan.

“Speaker, dia guna perkataan kera tu. Bagi contohlah pada kami yang baru ni. Minta tarik baliklah. Saya pun dah tak guna perkataan tak elok,” balas Sany.

Sany Hamzan

Dewan menjadi semakin tidak terkawal selepas Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki bangkit meminta Sany menjaga perangai.

“Perangai tu… Hulu Langat, perangai tu ubah sikit,”.

“Saya tak cakap dengan Parit Buntar. Saya cakap dengan Arau.

“Saya tak gunakan perkataan tak elok. Minta Arau tarik balik kenyataan dia,” tegas Sany yang juga Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul kemudian bertanya sama ada Shahidan mengaku telah mengeluarkan kata-kata yang tidak berparlimen.

Namun, Shahidan menafikan dan berkata, dia cuma menyebut perumpamaan ‘seperti kera di hutan’.

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan tanggung beban keputusan dasar kerajaan terdahulu