SELHAC 2023: Usaha Selangor luaskan industri halal ke peringkat antarabangsa
Kerajaan negeri Selangor mengalu-alukan penyertaan daripada seluruh pemain industri halal dan pengguna untuk menyertai Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2023.
SELHAC 2023 yang akan dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 10 hingga 12 Mac ini turut menyasarkan lebih 8000 pengunjung dengan tema ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’.
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata program tersebut yang memasuki tahun kedua penganjurannya akan diadakan dengan jumlah penyertaan yang lebih besar di samping menyediakan ruang lebih luas dan selesa kepada pengunjung.
“Kali ini dalam suasana endemik dengan lokasi yang lebih baik, saya harap ramai pemain industri yang akan menyertai SELHAC 2023 dengan penglibatan lebih ramai pemain industri dari dalam serta luar negara.
“Program ini menggabungkan antara pemain-pemain industri yang ada di negeri Selangor khususnya dalam sektor makanan, minuman, farmasi, perubatan, kecantikan, kosmetik dan banyak lagi,” katanya kepada Harapan Daily ketika diwawancara baru-baru ini.
SELHAC 2023 merupakan anjuran Kerajaan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal.
Menurut Mohd Zawawi, SELHAC merupakan program yang telah digariskan di bawah Rancangan Selangor-1 (RS-1) bagi mengembangkan industri halal di Selangor.
SELHAC yang dianjurkan untuk kali pertama pada tahun 2022 telah berjaya menarik kehadiran 4,000 orang pengunjung bersama 70 buah agensi (swasta dan kerajaan) yang membuka 105 reruai bagi mempromosikan produk halal masing-masing.
Program tersebut juga telah mencatatkan urus niaga mencecah RM 37.73 juta melibatkan syarikat ternama dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) khususnya di Selangor.