Hanya 13 peratus faktor nahas maut berpunca faktor keadaan jalan

Faktor rekaan, infrastruktur dan keadaan jalan hanya menyumbang sekitar 13 peratus kepada kemalangan maut di jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata ia adalah rumusan mengikut hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Dalam masa sama, katanya, lebih 80 peratus faktor utama nahas jalan raya sehingga mengakibatkan kematian di negara ini adalah berpunca daripada sikap manusia.

Lebih 60 peratus kematian akibat nahas jalan raya membabitkan penunggang motosikal.

Selain itu, jelasnya, kira-kira tujuh peratus nahas menyebabkan kematian adalah berpunca daripada keadaan kelayakan jalan atau aspek teknikal kenderaan bermotor yang digunakan.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MIROS telah melaksanakan pelbagai program intervensi bagi menangani isu keselamatan jalan raya secara berterusan.

“Sebagai contoh, program Kesedaran Keselamatan dan Advokasi Terfokus untuk Pengguna Jalan Raya (SAFER) telah dilaksanakan JPJ di seluruh negara dengan memfokuskan kumpulan sasar berbeza, dalam memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, khususnya kepada penunggang motosikal.

“Ini kerana lebih 60 peratus kematian akibat nahas jalan raya membabitkan penunggang motosikal,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasbi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai punca dan penyelesaian dilaksanakan kementerian berkenaan isu kemalangan jalan raya dan kematian akibat kemalangan.

BACA JUGA Naik taraf jalan RM227 juta surai masalah kesesakan di Rawang