Pemuda Amanah Negeri Sembilan menyambut baik pemerkasaan syiar Islam

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan syiar Islam.

Ketuanya, Mohd Hanis Alimin berkata, komitmen itu dapat dilihat melalui pembentangan Belanjawan 2023 yang memperuntukan RM1.5 bilion bagi pemerkasaan tersebut.

“Peruntukan yang tinggi bagi memartabatkan syiar Islam memberikan khabar gembira buat umat Islam dan orang Melayu.

“Contohnya pemberian elaun RM600 kepada guru KAFA. Kesannya, institusi itu dilihat lebih setara dengan badan pendidikan lain,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pembentangan Malaysia Madani yang turut meliputi pemerkasaan badan pendidikan agama Islam.

Tambah Mohd Hanis yang juga Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri, menyokong keprihatinan kerajaan untuk menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-panggilan.

Beliau juga berpendapat, peruntukan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pendapatan anak muda, bahkan ia juga dapat menjamin keselamatan golongan tersebut.

“Keputusan kerajaan menanggung kos lesen motosikal B2 banyak memberikan impak kepada anak muda.

“Ia bukan sahaja memberi impak positif kepada ekonomi belia, tetapi aspek keselamatan golongan itu juga lebih terpelihara,” ujarnya lagi.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan menegaskan bahawa agihan peruntukan dalam Belanjawan 2023 adalah selaras dengan prinsip Madani yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

BACA JUGA: AMK Negeri Sembilan sedia sebar maklumat, manfaat Belanjawan 2023