Empat kerusi PN di DUN Pulau Pinang bakal dikosongkan

Usul untuk mengosongkan empat kerusi DUN yang kini dipegang oleh Adun Perikatan Nasional telah diserahkan kepada pejabat Yang Dipertua Dewan, Datuk Law Choo Kiang setelah keempat-empat mereka gagal mendapatkan perintah larangan dari mahkamah.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah mengesahkan bahawa usul tersebut akan dibentangkan semasa sidang DUN terakhir sebelum pembubaran.

Empat Adun PN yang terkesan ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sg Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Keempat-empat Adun yang terkesan turut terlibat dalam Langkah Sheraton

Usul ini dijangka akan diluluskan memandangkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mempunyai majoriti 35 kerusi dari sejumlah 40.

Selain empat Adun di atas, PN diwakili oleh Yusni Mat Piah (Penaga) dari Pas.

Mereka berempat sebelum ini telah memfailkan kes ke atas Yang Dipertua Dewan mencabar keabsahan Yang Dipertua yang mahu mengosongkan kerusi mereka setelah mereka bertindak melompat parti.

Kes ini bermula sebelum pindaan perlembagaan yang mengharamkan lompat parti diluluskan.

Pulau Pinang merupakan salah satu negeri yang bakal menyaksikan pilihan raya negeri tahun ini.

Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan turut menyaksikan pilihan raya negeri tahun ini.

Semua DUN untuk  negeri-negeri tersebut dijangka akan dibubarkan pada hujung Jun.

BACA JUGA: Sekilas pandang: PRN Pulau Pinang