Kerjasama strategik pusat dan Negeri Sembilan dalam sektor keterjaminan makanan

Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik cadangan kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan dalam sektor keterjaminan makanan khususnya makanan asas, sentiasa tersedia untuk rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berpendapat bahawa langkah bagi melaksanakan projek makanan bermodalkan dana RM30 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023, adalah satu mekanisma yang harus diberikan pendekatan meluas.

”Pendekatan harus diberikan memandangkan dilema sekuriti makanan ini bukan lagi masalah negara kita semata-mata, malahan menjadi isu global.

”’Langkah ke depan bagi keterjaminan makanan adalah dengan mengukuhkan aktiviti pertanian bernilai tinggi. Adaptasi kepada hasil makanan yang berintensifkan teknologi tinggi juga adalah satu cara mengoptimumkan output dalam sektor pertanian yang merangkumi tanaman, ternakan dan perikanan,” tulis beliau dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Bagi memastikan sasaran itu tercapai, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, kerajaan harus mempercepatkan kaedah pengeluaran berteknologi tinggi dalam proses pengeluaran hasil pertanian negara menerusi teknologi pertanian pintar.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan akan menyediakan RM30 juta untuk bekerjasama dengan beberapa kerajaan negeri bagi melaksanakan projek agro makanan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sektor agro makanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan, dalam mendepani kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan.

BACA JUGA: AMK Negeri Sembilan sedia sebar maklumat, manfaat Belanjawan 2o23