PH Terengganu alu-alukan ketegasan MAIDAM larang ahli politik berkuliah di masjid, surau
Pakatan Harapan Terengganu mengalu-alukan ketegasan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang melarang semua ahli politik dan wakil rakyat dari menyampaikan kuliah di masjid-masjid dan surau di Terengganu.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pekeliling yang dikeluarkan Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail bertepatan pada masanya memandangkan wujud suasana tidak sihat di Terengganu.
“Kenyataan Yang Dipertua MAIDAM adalah bijaksana serta tepat dan amat di alu-alukan rakyat yang cintakan pendamaian.
“Memandangkan keadaan suasana yang tidak sihat khususnya di Terengganu, sudah pasti majoriti rakyat negeri mengalu alukan kenyataan tersebut dan bersetuju masjid dan surau sebagai rumah ibadat sepatutnya menyatukan rakyat melalui mesej perpaduan dan bukan perpecahan,” katanya kepada Harapan Daily.
MAIDAM mengeluarkan notis melarang mana-mana ADUN, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara dari memberikan kuliah dan bertindak sebagai khatib imam solat Jumaat di masjid dan surau di Terengganu
Menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan semalam, MAIDAM mengambil keputusan tersebut selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid, serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada MAIDAM.
MAIDAM membuat penegasan, masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahguna bagi tujuan yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan serta perselisihan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu Raja Kamarul berkata, adalah amat baik jika suasana toksik disebabkan politik kepartian sempit dihentikan segera, dan semangat persaudaraan diutamakan bertepatan dengan ajaran Islam mulia yang sebenarnya.
“Semoga semua pihak menghormati kebajikan umum rakyat dan memupuk persaudaraan serta perpaduan untuk membela masyarakat dan negara,” katanya lagi.
Baca juga: Ahli politik tidak dibenar beri kuliah, khutbah di masjid, surau Terengganu
Baca juga: Pelaburan AWS akan memberi dampak besar kepada inovasi, transformasi digital negara
Â