Ahli politik tidak dibenar beri kuliah, khutbah di masjid, surau Terengganu

Semua kepimpinan dan ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah, atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu, kecuali pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, semua kepimpinan dan aktivis politik juga tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid-masjid di Terengganu.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh MAIDAM semalam, 2 Mac 2023.

Menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan, MAIDAM mengambil keputusan tersebut selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid, serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada MAIDAM.

“MAIDAM memandang serius akan perkara ini dan mengambil keputusan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dalam surau dalam negeri Terengganu.

“Semua ADUN, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib imam solat Jumaat di Masjid,” kata surat tersebut.

Selain itu, semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid dan surau diarah untuk memastikan penceramah, pengkuliah, dan tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan yang dikeluarkan oleh MAIDAM.

Mana-mana program keagamaan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan termasuk jabatan kerajaan, badan berkanun kerajaan, anak-anak syarikat kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di bangunan agensi atau di tempat awam, hendaklah memastikan penceramah, pengkuliah atau ahli panel di dalam atau luar negeri yang dijemput mempunyai tauliah dan kelulusan daripada MAIDAM.

“Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Daerah dikehendaki membuat pemantauan atas arahan yang dikeluarkan supaya ianya dipatuhi.

“Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu juga menyeru supaya semua pihak dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan JHEAT,” katanya.

Menurut Shaikh Harun, masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahguna bagi tujuan yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan serta perselisihan dalam kalangan masyarakat.

Baca juga: DBKL digesa beri perhatian segera tambah baik gerai penjaja di ibu kota

Baca juga: Elak masjid dicemari elemen rosak akidah dan perpaduan, titah Sultan Selangor