Prestasi dan keupayaan Pakatan Harapan di Selangor, kekal jadi kubu kuat

EKSKLUSIF| Selangor akan terus menjadi sebuah negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH) berdasarkan prestasi dan keupayaan PH di negeri ini. Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat dan diikuti oleh Pakatan Harapan sejak pilihan raya umum 2008.

Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang lebih dikenali sebagai Altimet berkata prestasai cemerlang PH di Selangor membuktikan PH mampu mentadbir dengan lebih baik berbanding sebelum itu. Buktinya kini Selangor penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Alhamdulillah. Saya rasa prestasi Selangor cukup jelas apabila kita (Selangor) telah sumbang 24.8 peratus KDNK. Ini bermakna hampir suku hasil dalam negara datangnya dari Selangor yang ditadbir oleh PH,” katanya kepada Harapan Daily ketika diwawancara hari ini.

Beliau menambah bahawa Selangor juga berjaya merekodkan rizab semasa berjumlah RM3.29 bilion.

Syed yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya berkata PH juga telah mengukuhkan kedudukannya di negeri Selangor menerusi pelaksanaan pelbagai bantuan kerajaan negeri Selangor menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

“Di Ampang antara program inisiatif yang popular ialah Jelajah Ehsan Rakyat, Skim Insurans Rakyat Selangor, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor dan Skim Mesra Usia Emas. Secara keseluruhannya saya nampak ia bagus tapi belum sempurna dan boleh diperbaiki lagi untuk terus membantu rakyat di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, ISP merujuk kepada tekad dan kesungguhan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan program kebajikan lebih menepati kehendak semasa rakyat menerusi penambahbaikan atau program baru.

Tambah beliau, peningkatan kecemerlangan dan prestasi yang ditunjukkan oleh negeri Selangor merupakan bukti nyata pencapaian yang boleh ditunjukkan kepada rakyat.

Beliau yang sejak kecil telah menetap di Selangor yakin bahawa negeri itu akan terus makmur sekiranya terus diperintah oleh PH.

BACA JUGA: Kerjasama PH, BN: Agihan kerusi PRN dijangka diumum hujung Mac