Nama Hadi Awang tiada dalam senarai penerima tauliah negeri Terengganu 

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak tersenarai dalam nama penerima tauliah negeri Terengganu setakat Julai 2021, mengikut Portal Data Terbuka Malaysia.

Abdul Hadi setakat semalam masih lagi memberikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang sehari selepas surat pekeliling Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dikeluarkan.

Hantaran Facebook beliau juga menguar-uarkan kuliah tersebut.

Atas sebab itu, Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Dr Zulqarnain Luqman menasihati agar Abdul Hadi dapat mematuhi titah tuanku Sultan Terengganu bahawa ahli politik dan wakil rakyat yang tidak mendapat tauliah, tidak dibenarkan berkuliah, berkhutbah dan menjadi imam masjid solat Jumaat.

 

“Jika kita melihat Senarai Nama Penerima Tauliah Negeri Terengganu (setakat 18 Julai 2021 yang boleh diakses melalui data terbuka data.gov.my) Presiden Pas sendiri tidak mempunyai tauliah mengajar sedangkan pada semalam beliau kelihatan mengajar agama di Masjid Rusila.

“Kita berharap beliau dapat mematuhi titah Tuanku Sultan dan memohon tauliah mengajar agama selaras dengan Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Terengganu) 2013.

“Jika beliau masih berterusan mengajar tanpa tauliah maka kita berharap unit penguatkuasan MAIDAM dapat bertindak tegas supaya titah Tuanku tidak dipandang ringan oleh ahli politik,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily semalam.

Hadi awang
Senarai penerima tauliah negeri Terengganu, tiada nama Abdul Hadi

Tambah Zulqarnain, Peraturan 26 Peraturan-Peraturan Tauliah telah menyebut tentang kelayakan seseorang untuk mendapatkan tauliah antaranya tidak boleh menyentuh isu-isu parti politik.

Justeru katanya, semula ahli Yang Berhormat termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator selaku ahli badan legislatif hendaklah menghormati undang-undang yang sudah digubal ini.

“Kegagalan mereka mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa ini adalah satu penghinaan kepada badan legislatif,” ujarnya lagi.

Baca juga: Walaupun dilarang, Hadi beri kuliah macam biasa di Masjid Rusila