Walaupun dilarang, Hadi beri kuliah macam biasa di Masjid Rusila

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberikan kuliahnya sebagaimana biasa di Masjid Rusila pagi ini walaupun semua wakil rakyat di Terengganu telah dilarang dari memberikan kuliah agama di masjid.

Bahkan, sebelum kuliah dimulakan, seorang jurucakap masjid memaklumkan kepada sidang hadirin, Pesuruhjaya Pas Johor, Ustaz Abdullah Husin akan memberikan Kuliah Maghrib malam ini di masjid yang sama.

Kuliah Maghrib itu akan diadakan sempena perhimpunan As Saabikun iaitu sayap veteran Pas yang akan diadakan esok di perkarangan Masjid Rusila, Marang.

Tidak dapat dipastikan apakah kedua-duanya mendapat pengecualian dan kebenaran untuk memberikan kuliah di masjid di Terengganu selepas larangan dibuat semalam.

MAIDAM mengeluarkan kenyataan semalam melarang Ahli Parlimen dan Adun memberikan kuliah atau khutbah Jumaat di Terengganu. Arahan itu dikeluarkan atas titah DYMM Sultan Terengganu.

Semalam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu telah mengeluarkan satu kenyataan media melarang semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari memberikan kuliah, ceramah atau khutbah Jumaat di semua masjid di Terengganu.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail juga berkata, semua kepimpinan dan aktivis politik juga tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid-masjid di Terengganu.

Menerusi kenyataan media itu, MAIDAM mengambil keputusan tersebut selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid, serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada MAIDAM.

“MAIDAM memandang serius akan perkara ini dan mengambil keputusan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dalam surau dalam negeri Terengganu.

“Semua ADUN, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib imam solat Jumaat di Masjid,” kata surat tersebut.

Selain itu, semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Masjid dan surau diarah untuk memastikan penceramah, pengkuliah, dan tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan yang dikeluarkan oleh MAIDAM.

 

BACA JUGA Ahli politik tidak dibenar beri kuliah, khutbah di masjid, surau Terengganu

JUGA PH Terengganu alu-alukan ketegasan MAIDAM larang ahli politik berkuliah di masjid, surau