Cakna nasib mangsa banjir, pemimpin PH Negeri Sembilan hulur bantuan
Simpati terhadap nasib mangsa banjir, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Abd Latif A Tambi tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut perkongsian di laman Facebook Penyelaras DUN Gemencheh, beliau sendiri telah turun padang untuk menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Kelamah, baru-baru ini.
“Seramai 136 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di sini (Sungai Kelamah). Di samping itu, saya turut bergegas ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok yang menempatkan seramai sepuluh keluarga.
“Dalam lawatan itu, saya telah memberikan mereka sumbangan barangan keperluan seperti tilam, bantal dan ubat gigi.
“Saya turut mendoakan agar mereka yang terlibat diberi kekuatan menghadapi musibah ini,” tulis pentadbir laman sosial itu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi dan Pegawai JKM Tampin, Tuan Dandan Tuan Sulong.
Terdahulu, Abd Latif yang pernah ditemu ramah Harapan Daily di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras DUN Gemencheh berkata, sebarang bentuk bantuan akan diterima sama rata tanpa mengira latar belakang kaum atau wadah perjuangan seseorang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) Tampin itu berkata, Pakatan Harapan (PH) telah diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun agar tidak membeza-bezakan anggota masyarakat dengan wadah perjuangan mereka, kerana semuanya adalah rakyat Negeri Sembilan.
BACA JUGA Ini cerita daerah paling bahagia di Negeri Sembilan