Lagu “Hoi Ya Hoi…penyamun” tetap relevan, tarik perhatian – Altimet
EKSKLUSIF | Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lagu ciptaan sepenuhnya oleh Altimet berjudul Aduh Malaysia telah menjadi siulan buat penyokong-penyokong tegar Pakatan Harapan (PH).
Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman mencipta lagu itu dengan mengubah lirik asal Ali Baba dengan 40 Penyamun dan dilancarkan sendiri di pentas politik pada program Rapat Mega PKR 2022 di Ampang pada 12 September lalu.
Lagu itu kemudian menjadi tular sepanjang kempen PRU15 dan digunakan oleh pemimpin serta jentera PH untuk dijadikan sebagai bahan kempen.
Namun selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Altimet telah diserang oleh netizen kerana rata-rata warganet media sosial meluahkan kekesalan dan meninggalkan sindiran halus seolah-olah lagu itu memakan dirinya.
Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang berkata, dirinya tidak tersindir langsung dengan cakap-cakap orang malah perkara itu menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi dirinya dan yakin bahawa lagu ciptaannya itu menjadi sukses.
“Attention is the new currency’ (Perhatian itu merupakan satu mata wang baharu), jadi lagi ramai orang bercerita tentang lagu itu maknanya ada ’emotional engagement’ (keterlibatan emosi).
“Apabila seseorang melibatkan emosi terhadap sesuatu karya, maknanya karya itu positif,” katanya ketika ditemu bual Harapan Daily pada Jumaat lalu.
Menurutnya, bagi individu yang berkarya seni dalam pelbagai bidang seperti penghasilan cerpen, filem, lukisan dan lagu akan merasa teruk apabila karya-karya yang dihasilkan mereka tidak mendapat sebarang reaksi langsung daripada orang sekeliling.
Katanya, lirik lagu Aduh Malaysia dihasilkan dalam masa 15 minit itu juga tidak membebankan dirinya untuk mengeluarkan sebarang wang perbelanjaan.
“Apabila kita hendak keluarkan sesuatu lagu itu, kita kena ada proses dan kos seperti pemasaran dan sebagainya.
“Saya nak beritahu bahawa kos saya untuk pasarkan lagu Hoi Ya Hoi (Aduh Malaysia) adalah sifar malah saya tidak ambil duit daripada mana-mana pemimpin atau parti politik kerana lagu itu milik saya dan hak lagu itu sepenuhnya kepada saya,” ujarnya.
Terdahulu Altimet telah menyerahkan royalti lagu Aduh Malaysia kepada waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai hadiah dan penghargaan atas jasa yang dicurahkan seniman agung kelahiran Pulau Pinang itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa mesej lagu itu adalah umum dan kebanyakan lagu-lagu ciptaannya termasuk lagu rap sebenarnya adalah lagu rakyat.
“Apabila lagu rakyat kita mesti fikir Noraniza Idris, tidak. Lagu rakyat ini adalah lagu yang bertemakan rakyat.
“Selagi isu lagu itu relevan kepada rakyat ini bermakna lagu itu akan sentiasa relevan,” katanya. – Harapan Daily