Pembatalan ceramah: JAIS kesal pihak timbulkan persepsi buruk

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan tindakan individu dan pihak-pihak tertentu yang membuat hantaran kurang tepat berhubung pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar di negeri itu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hantaran di Facebook penceramah tersebut pada 5 Mac lalu, telah dikongsi semula oleh Facebook Harakahdaily pada hari yang sama.

Dalam masa sama, jelasnya, terdapat pihak tertentu membuat komen yang cenderung mewujudkan persepsi tidak baik terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pihak berkuasa agama Islam dan kerajaan negeri Selangor.

“JAIS ingin menegaskan bahawa nasihat yang diberikan kepada pihak penganjur bagi sesi ceramah Ustaz Wadi Annuar adalah selaras dengan ketetapan Seksyen 118, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Wadi Annuar

“Enakmen berkenaan telah menetapkan bahawa hanya Jawatankuasa Tauliah yang mempunyai bidang kuasa memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di Negeri Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan dua ceramah agama oleh pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjong Karang pada 10 dan 11 Mac depan dibatalkan.

Terdahulu, JAIS turut membatalkan kuliah Maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus yang dijadualkan pada 26 Februari lalu di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong kerana tidak mempunyai tauliah mengajar agama Islam di negeri itu.

BACA JUGA Ustaz Azhar tiada tauliah mengajar di Selangor, kata JAIS