AMK Negeri Sembilan anggap Presiden Pas ancam kestabilan negara
Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan sekeras-kerasnya menolak sebarang kenyataan mahupun tindakan yang boleh mengancam kestabilan negara.
Timbalan AMK negeri, Umry Abdul Khois menegaskan bahawa pengakuan Presiden Pas untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan jelas bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan atas alasan demokrasi sekalipun menggambarkan Ahli Parlimen Marang itu gagal menghayati makna Rukun Negara.
“Tertubuhnya kerajaan ini adalah hasil titah Agong dan sebagai warga Malaysia, kita semua telah berikrar dalam Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Ertinya, semua rakyat wajib setia pada Raja-Raja Melayu selagi tidak bercanggah pada agama,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, petang ini.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan jika Perikatan Nasional (PN) merancang untuk terus menjatuhkan kerajaan pada masa ini mengikut nafsu politik, ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Mengulas lanjut, Umry yang juga merupakan Timbalan AMK Cabang Jelebu tidak menolak pertelingkahan pemimpin parti politik hanya akan merugikan rakyat semata-mata.
“Dalam tempoh lima tahun (pentadbiran kerajaan) ini, bukan masa untuk sibuk menjatuhkan kerajaan. Kita telah lalui jerit perit rakyat selepas Langkah Sheraton.
“Sepatutnya, sebagai MP (Ahli Parlimen) mereka seharusnya membawa isu rakyat bukan berpolitik atau sibuk untuk menjatuhkan kerajaan,” tambahnya lagi.
Semalam, Abdul Hadi di Parlimen mengaku adanya ‘usaha’ yang sedang dijalankan Perikatan Nasional (PN) dan parti komponen di blok pembangkang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, pemimpin Pas berkenaan juga dilihat sengaja melanggar titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melarang mana-mana ahli politik memberi ceramah agama di negeri itu.
BACA JUGA AMK Negeri Sembilan sedia sebar maklumat, manfaat Belanjawan 2023