Tiada keperluan pilihan raya empat kerusi DUN P. Pinang kosong – SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tiada keperluan mengadakan pilihan raya bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang mengalami kekosongan luar jangka.

Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak berkata perkara itu susulan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang dari dua tahun.

“SPR telah menerima pemakluman daripada Yang Dipertua DUN Datuk Law Choo Kiang melalui surat bertarikh 6 Mac berhubung status kekosongan luar jangka empat kerusi DUN Pulau Pinang selepas usul pengisytiharan kekosongan d bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata kerusi yang terlibat ialah Seberang Jaya yang disandang Dr. Afif Bahardin, Sungai Acheh ( Zulkifli Ibrahim), Telok Bahang (Zolkiftly Md. Lazim) dan Bertam (Khaliq Mehtab Mohd Ishaq).

“Berdasarkan pemakluman tersebut dan mengambil kira proviso di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, tiada keperluan untuk SPR mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang dari dua tahun,” katanya.

BACA JUGA: Usul DUN Pulau Pinang lulus empat kerusi wakil pembangkang diisytihar kosong