Usul DUN Pulau Pinang lulus empat kerusi wakil pembangkang diisytihar kosong

Kesemua empat wakil rakyat pembangkang Pulau Pinang diarahkan keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini selepas usul pengosongan kerusi mereka diluluskan sidang DUN.

Mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu iaitu Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Teluk Bahang).

Kesemua mereka meninggalkan bangunan DUN kira-kira pukul 1 tengah hari selepas diarahkan berbuat demikian oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang selepas usul itu mendapat sokongan majoriti, lapor Utusan Malaysia pada Isnin.

Terdahulu usul pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan negeri dicadangkan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR-Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).

Usul itu dibenarkan dibahaskan oleh Choo Kiang sebaik sahaja sidang DUN bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas mengambil kira kepentingan usul tersebut yang berkaitan dengan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen anti lompat parti pada 2 Mac lalu.

Ketika membentangkan usul berkenaan, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan jelas menetapkan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya apabila melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahlian daripada sesebuah parti politik atau menyertai mana-mana parti politik lain.

Menurut beliau perkara itu terpakai kepada ADUN Bertam dan Teluk Bahang yang merupakan ahli Bersatu yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bertanding atas tiket logo PKR dan mendapat merit daripada Presiden PKR manakala ADUN Sungai Acheh dan Seberang Jaya pula telah dipecat daripada parti PKR.

“Sekiranya pengisytiharan tersebut diluluskan, Yang Dipertua DUN menurut Fasal 14A(4) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang hendaklah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah berlakunya kekosongan empat kerusi DUN Pulau Pinang.

BACA JUGA: ‘Pergi beritahu Sanusi jangan main-main dengan Pulau Pinang’