Usaha berterusan meningkatkan pelajar aliran STEM

Usaha berterusan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai sasaran 60:40 pelajar aliran STEM kepada aliran sastera menerusi Inisiatif Pengukuhan Pendidikan STEM yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

STEM merujuk kepada pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, empat langkah telah diambil berdasarkan inisiatif di atas iaitu:

i. meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran yang baharu dan pemantapan kurikulum seperti pembelajaran
berasaskan inkuiri, projek, penyelesaian masalah dan antara disiplin yang melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)

ii. meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM

iii. meningkatkan kesedaran terhadap STEM dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang awam

iv. menambah baik serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur untuk proses PdP STEM.

Pada tahun 2022, peratusan pelajar yang menyertai aliran STEM ialah 40.94%. Mereka terdiri daripada empat kumpulan iaitu:

i. mengambil mana-mana aliran STEM

ii. mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan sahaja

iii. mengambil mana-mana satu mata pelajaran elektif STEM (Sains Gunaan dan Teknologi)

iv. mengikuti program Kolej Vokasional Tahun 1.

BACA JUGA: Kementerian Pendidikan tidak iktiraf UEC