MP Marang biadab, tidak hormati titah Agong

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) pagi ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan kebiadaban Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak menghormati Titah Tuanku.

Sehubungan itu, sayap anak muda parti komponen Kerajaan Perpaduan itu mahu tindakan drastik dikenakan kepada sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat kestabilan negara.

Naib Ketua Pemudanya, Abbas Salimi Datuk Adzmi menegaskan, kini sudah tiba masanya untuk semua pihak menumpukan kepada pembangunan negara.

“Cukup-cukuplah berpolitik. Sekarang masanya untuk kita tumpu pembangunan negara. Ini masa untuk bantu rakyat.

“Jangan hanya pandai minta pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi pada masa sama nak robohkan kerajaan.

“Jangan hanya pandai bermain isu tentang Islam dan sebagainya, tetapi pada masa sama tidak pandai menghormati Institusi Diraja,” katanya pada media di hadapan Pintu 3 Istana Negara, sebentar tadi.

Naib ketua pemuda Amanah Abbas Salimi mengetuai sekumpulan ahli partinya untuk menyerahkan memorandum ke istana.

Beliau ditemui pemberita sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengenai kebiadapan Ahli Parlimen Marang, mencemar imej kedaulatan YDPA dan Raja-Raja Melayu.

Turut hadir bagi menyerahkan memorandum itu adalah Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam.

Menurut Abbas lagi, Presiden Pas itu sepatutnya bersama-sama membina negara demi rakyat, dan bukannya gila kuasa mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Seharusnya sebagai seorang ahli politik yang senior dan berimejkan Islam serta mempunyai gelaran tuan guru, dia sepatunya bersama-sama membina dan memulihkan keadaan negara demi rakyat, bukannya gila kuasa mahu menjatuhkan kerajaan.

“Lebih biadap lagi tindakan Ahli Parlimen Marang itu mengatakan bahawa tidak ada siapa yang boleh menghalang jika berlakunya penukaran kerajaan, sedangkan titah Tuanku sendiri yang meminta supaya semua ahli parlimen menumpukan kepada pembangunan negara.

“Kami menjunjung institusi raja-raja dan Tuanku adalah payung rakyat. Kita mahukan tindakan drastik kepada mereka yang mahu mengganggu gugat kestabilan negara,” ujarnya lagi.

 

BACA JUGA Walaupun dilarang, Hadi beri kuliah macam biasa di Masjid Rusila