PH Negeri Sembilan beri bayangan bincang agihan kerusi dalam waktu terdekat

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memberi bayangan akan mengadakan perbincangan berkaitan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini belum ada sebarang rundingan mengenai agihan kerusi di negeri Adat Perpatih itu.

“Belum ada lagi (perbincangan). Kita perlu buat rundingan. Nak kena tahu apa permintaan orang, dan apa permintaan daripada kita.

“InsyaAllah dalam sehari dua ini, kita akan mulakan perbincangan. Mungkin sesama kita dahulu atau pun dengan pihak rakan kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan mengulas demikian apabila ditanya pemberita mengenai pembahagian kerusi melibatkan parti komponen dalam PH.

Sidang media tersebut turut disiarkan menerusi penstriman langsung daripada Facebook rasmi Aminuddin.

Terdahulu, Aminuddin dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada PRU15 yang lalu.

Untuk rekod, PH menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu, berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA Ini cerita daerah paling bahagia di Negeri Sembilan