Syerleena takkan pertahankan DUN Seri Delima

Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera-PH) telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Seri Delima yang dimenangi olehnya dalam PRU ke-14 di dalam tahun 2018.

“Ini mengakhiri sidang DUN untuk penggal ini dan saya sebagai ADUN Seri Delima. Tidak dapat tidak saya rasakan sedikit sedih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada semua di sini tetapi hidup ini harus diteruskan dan kita perlu terus berjuang untuk memastikan wawasan kita kekal,” ciap beliau di Twitter.

Ciapan beliau disertakan dengan gambar beliau beserta semua Adun blok kerajaan.

Syerleena bersama Adun blok kerajaan selepas tamat sidang DUN di Pulau Pinang

Ini bermakna Syerleena menjadi Adun Seri Delima selama satu penggal sahaja. Syerleena telah menewaskan calon MCA Khoo Kay Teong dan Tan Yang Yung dari Parti Bersama Malaysia.

Kerusi Seri Delima merupakan kerusi majoriti Cina dan menjadi kubu kuat DAP sejak 2008. ADUN Seri Delima dari DAP sebelum Syerleena ialah RSN Rayer (Jelutong-PH).

Pulau Pinang merupakan salah satu dari enam negeri yang bakal menyaksikan pilihan raya negeri. Negeri-negeri lain yang turut terlibat ialah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

BACA JUGA: Sekilas pandang PRN Pulau Pinang