Bos Restoran Ali Maju akui keuntungan meningkat lepas tawar Menu Rahmah

Pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 sejak Januari lalu sebenarnya berjaya meningkatkan keuntungan pengusaha makanan.

Pemilik rangkaian Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata meskipun insiatif tersebut tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan, ia nyata memberi impak yang baik kepada peniagaannya.

“Sejak hampir dua bulan menawarkan Menu Rahmah di cawangan restoran kami, jualan di setiap premis meningkat secara mendadak.

“Kalau ikut logik akal, apabila kita menjual makanan yang lebih murah daripada kos bahan mentah, pendapatan akan turun tetapi berlaku sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily baru-baru ini.

DATUK JAWAHAR ALI TAIB KHAN

Jawahar yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menegaskan pihaknya akan sentiasa menjaga kualiti Menu Rahmah tanpa membeza-bezakan dengan juadah lain.

“Sebagai pengusaha makanan, dari segi rasa dan kualiti makanan sama dengan menu lain.

“Setakat ini rata-rata pelanggan yang mencuba hidangan Menu Rahmah berpuas hati sajian tersebut dengan harga yang murah.

“Apa yang kami lakukan ini ialah satu amal jariah untuk membantu rakyat yang terbeban,” jelasnya.

Contoh set hidangan Menu Rahmah yang dijual di Restoran Ali Maju lengkap mengandungi nasi, lauk, sayur dan kuah. Foto FB Orang Wangsa Maju

Semalam restoran perkhidmatan terkemuka McDonald’s (McD) melancarkan tiga Menu Rahmah di seluruh 340 cawangannya.

Antara rangkaian makanan segera turut terlibat dalam program tersebut adalah Burger King, Marrybrown, A&W dan Domino’s Pizza.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi bayangan lebih banyak syarikat makanan dan minuman besar akan menyertai inisiatif ini menjelang Ramadan.

BACA JUGA: 340 cawangan McDonald’s terlibat Menu Rahmah

(VIDEO) Biarpun RM5 Menu Rahmah tetap berkhasiat, bukan hidangan ‘low quality’