Umno berusaha jadi sebahagian kerajaan Selangor lepas PRN – Zahid

Umno akan berusaha untuk menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada Jun ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dengan merujuk kepada pembentukan kerajaan negeri bersama PH yang telah mentadbir Selangor setelah menumpaskan BN sejak 2008.

“Kita akan berusaha agar Umno dan BN Selangor menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang akan terbentuk selepas PRN, Insya-Allah.

“Mungkin itulah sebabnya ramai yang menawarkan diri (bertanding dalam pemilihan parti),” katanya pada sesi memperkenalkan calon-calon pemilihan Umno di Shah Alam, Selangor malam tadi, lapor Malaysiakini.

Hadir sama Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan.

Barisan calon Naib Presiden bagi pemilihan parti dalam sesi pengenalan peringkat Umno Selangor yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 8 Mac malam. Foto Umno Online

Setakat ini, pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan, kedudukan BN dalam kerajaan Selangor bakal ditentukan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dijadual bersidang pada 14 Mac ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dijadual membuka sidang DUN Selangor penggal ke-14 tahun 2023 yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 14 Mac.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim dipetik sebagai berkata pembukaan sidang DUN kali terakhir untuk penggal ini akan dilaksanakan dengan penuh istiadat.

Selepas bersama-sama dengan PH menubuhkan kerajaan persekutuan, BN kini hampir pasti akan menyertai PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – bersama-sama gabungan itu.

Pada 26 Februari lalu, Pengarah Komunikasi PH Fahmi Fadzil berkata rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN antara PH, BN dan parti lain dalam kerajaan akan diumum sebelum hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Umno Selangor mencatatkan penyertaan tertinggi bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti yang akan diadakan bulan ini.

“Kemeriahan pemilihan ini saya harap tidak akan menenggelamkan kemeriahan PRN negeri yang akan diadakan nanti,” katanya.

Jelas beliau rundingan berjalan lancar di setiap negeri dan hasilnya akan dibawa ke Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk dimuktamadkan.

BACA JUGA: Kerjasama PH, BN: Agihan kerusi PRN dijangka diumum hujung Mac