SELHAC perkasa industri halal

Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2023 akan membantu memperkasa industri halal agar lebih berdaya maju dan kompetitif.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata ia selaras dengan objektif pelaksanaan program ini untuk membangunkan ekosistem dan infrastruktur halal yang holistik di samping memberdaya pembangunan industri halal di Selangor ke peringkat global.

“Objektif SELHAC adalah mudah tetapi ia akan memberi kesan kerana ia adalah salah satu komponen utama negeri untuk memacu pembangunan.

“Di samping itu, ia turut mewujudkan daya pengeluaran yang lebih baik dan mengukuhkan rangkaian industri halal di Selangor dan negara secara keseluruhannya,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian SELHAC 2023, hari ini.

Menurutnya, ekonomi halal dapat digerakkan dengan wujudnya halal hub selain bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menjadikan Selangor sebagai negeri pilihan pelaburan industri halal.

Zawawi yang juga ADUN Sungai Kandis berkata konvensyen itu juga akan menjadi medan kepada pemain industri untuk meluaskan perniagaan mereka.

“SELHAC 2023 adalah peluang unik untuk kita berkumpul dan meraikan kepelbagaian dan kekayaan industri halal.

“Kita berada di sini untuk berkongsi idea, bertukar pengetahuan, meneroka peluang baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan dalam industri yang menarik ini,” katanya.

Tambah beliau, industri halal tidak hanya berkait rapat dengan makanan, malah mencakupi skop lebih luas seperti produk kecantikan, farmaseutikal dan perubatan.

Enam komponen bakal diketengahkan sepanjang persidangan ialah forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.

SELHAC 2023 dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, diuruskan oleh anak syarikat Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) MBI, HIS Toyyiba Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Aspire Flagship Sdn Bhd) atau lebih dikenali sebagai Halal International Selangor (HIS).

Menurut Mohd Zawawi, SELHAC turut merupakan program yang telah digariskan di bawah Rancangan Selangor-1 (RS-1) bagi mengembangkan industri halal di Selangor.

BACA JUGA: SELHAC komponen penting rancakkan industri halal Selangor