Inisiatif keusahawanan digital MyVeteranMall tidak dapat sambutan hangat veteran ATM

Inisiatif keusahawanan digital melalui aplikasi MyVeteranMall tidak menerima sambutan hangat daripada veteran tentera terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dedah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan. Ini menyebabkan jumlah penyertaan kekal 512 orang sejak dua tahun lalu.

Ujarnya, lebih banyak veteran-veteran ini lebih memilih makan gaji dan mencari pekerjaan lain berbanding memulakan perniagaan.

“Berkenaan dengan keusahawanan digital untuk veteran tentera, memang sambutannya amat kurang daripada pihak veteran walaupun dah disediakan aplikasi tersebut.

“Pelbagai kursus dibuat untuk veteran-veteran ini, dan mereka yang berminat utnuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan baik besar atau kecil.

“Tetapi masalahnya mereka ini tidak berminat. Ramai veteran muda-muda lebih suka makan gaji. Jadi mereka ini lebih memilih cari pekerjaan daripada berniaga,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaziman Abu Mansor (Tampin-BN) yang bertanya mengenai penglibatan veteran tentera dalam MyVeteranMall dan kekangan kementerian untuk menarik lebih ramai veteran tidak berpencen menceburi insiatif tersebut.

Menjawab punca veteran tidak berminat menceburi bidang perniagaan, Mohamad Hasan berkata, mereka mengenalpasti bahawa golongan ini menghadapi kekangan kewangan dan modal permulaan untuk membina perniagaan.

Begitupun menurutnya, melalui Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (Perhebat), kementeriannya akan berusaha untuk melipatgandakan promosi menggalakkan lebih ramai veteran menceburi bidang keusahawanan, selain memberi bantuan kewangan sewajarnya.

Sementara itu Mohamad menambah, kerajaan dalam usaha mencari satu formula untuk menyelaraskan pencen tentera dan mencari pesara-pesara lama yang tercicir dari mendapat pencen ini.

BACA JUGA: 700 veteran ATM terima pingat jasa Malaysia, iktiraf keberanian lawan komunis