700 veteran ATM terima pingat jasa Malaysia, iktiraf keberanian lawan komunis

700 veteran ATM terima pingat jasa Malaysia, iktiraf keberanian lawan komunis

Seramai 700 orang veteran ATM telah dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur semalam.

Pingat Jasa Malaysia (PJM) merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.

Penganugerahan ini hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Ketua Setiausaha kementerian Brig Jen (K) Datuk Seri Muez Abd Aziz telah menyempurnakan penganugerahan PJM kepada veteran ATM yang telah dilaksanakan bermula 3 Mac 2004.

Sehingga hari ini, seramai 33,632 warga Veteran ATM telah menerima Pingat Jasa Malaysia ini.

Sebahagian daripada veteran ATM dan waris pada majlis penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Wisma Perwira, ATM, Kuala Lumpur pada  7 Februari. Foto MINDEF

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan malam tadi memaklumkan PJM hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas.

“Bertugas secara langsung tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM),” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu antara syarat lain, veteran tersebut telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Kenyataan itu memaklumkan syarat lain ialah veteran itu telah  terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas PKM bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 atau pengganas PKKU bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990.

Turut hadir Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus serta wakil Persatuan Veteran ATM sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

BACA JUGA: Abdul Rahman Ayob, pegawai kapal selam pertama dilantik Panglima TLDM

COMMENTS

Wordpress (0)