Kemudahan prasarana, prestasi baik kerajaan Negeri Sembilan mampu tawan hati pengundi

Kemudahan infrastruktur dan prestasi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan yang memberangsangkan, diyakini mampu menawan hati masyarakat atau pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Ismail Ahmad berkata, kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi yang baik sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018.

Beliau berkata, prestasi yang baik itu termasuklah dalam sektor pelaburan dan kewangan yang masing-masing menunjukkan peningkatan memberangsangkan di negeri berkenaan.

“Pada saya, jika melihat daripada segi pelaburan, ia sememangnya mencatatkan angka yang banyak dan boleh dikatakan sehingga lapan kali ganda lebih baik berbanding sebelum ini.

YB Ismail ketika menziarahi dan menyerahkan kerusi roda kepada seorang warga emas di Kampong Kondok baru-baru ini.

“Untuk tahun lepas, kita memperolehi kira-kira RM8.8 bilion berbanding sebelum ini mungkin dalam RM2 bilion sahaja.

“Daripada segi kewangan pula, ia turut menunjukkan perkembangan yang positif dan kita berjaya mengutip peratusan agak baik iaitu melebihi 90 peratus,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai potensi kemenangan Pakatan Harapan (PH) terutamanya di peringkat negeri apabila bersaing dalam PRN tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Ismail yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar berkata, kerajaan negeri juga telah melaksanakan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan asas di kawasan luar bandar khususnya untuk penduduk menikmatinya.

“Banyak projek yang sudah dilaksanakan seperti jalan raya, perumahan, jambatan dan menyelesaikan masalah tertunggak sebelum ini. Ia sekali gus menggambarkan prestasi kerajaan negeri agak baik sebenarnya.

“Kemudian kita ada banyak insentif baharu yang diberikan kepada rakyat seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS dan TUNS PLUS) yang membantu mereka secara ‘one off’.

“Pada masa sama, kita juga memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan usahawan di negeri ini,” ujar beliau lagi yang optimis bantuan sedemikian mampu menarik sokongan pengundi.

TUNS merupakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 yang disasarkan kepada penjaja dan peniaga kecil di negeri tersebut.

Inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 5,149 usahawan mikro dari 2019 sehingga 2022, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 juta dalam tempoh empat tahun.

Terdahulu, pendapatan peniaga kecil di negeri berkenaan dilaporkan berjaya ditingkatkan menerusi inisiatif TUNS dan TUNS PLUS yang diperkenalkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKKNNS), Rusmimah Mat Derus, sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2019, seramai 82.9 peratus peniaga kecil berjaya meningkatkan pendapatan.

BACA JUGA Negeri Sembilan komited majukan tanah terbiar