‘KP SPRM dilantik masa Pagoh jadi PM, kenapa tuduh ada pendakwaan terpilih?’

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menyinggung kenyataan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (Pagoh-PN) yang mendakwa beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas terpalit enam pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Khoo ketika sesi perbahasan Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa hari ini, mempersoal mengapa Mahiaddin mengeluarkan dakwaan sedemikian sedangkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah lantikan ketika pentadbirannya.

“Minggu lepas dan hari ini, Pagoh telah didakwa di mahkamah berkaitan dengan isu rasuah. Apabila Pagoh didakwa, dia mengatakan pendakwaannya bermotif politik, mengatakan kononnya itu satu pendakwaan terpilih.

Khoo Poay Tiong

“Jadi, soalan pokok saya (adalah) tentang proses nak lantik KP SPRM.

“Kalau kita lihat, KP SPRM hari ini adalah lantikan sewaktu (Ahli Parlimen) Pagoh jadi Perdana Menteri.

“Jadi, bagaimana boleh dikatakan itu (pendakwaan) adalah bermotif politik?,” bidasnya di Dewan Rakyat petang ini.

Dalam pada itu, untuk menyelesaikan hal tersebut, Khoo mencadangkan agar kerajaan merangka satu proses untuk melantik KP SPRM supaya tiada lagi individu yang sedang didakwa, boleh menyalahkan badan pencegahan rasuah itu.

Menurut pemimpin DAP tersebut, proses lantikan itu mestilah telus dan adil bagi memastikan KP SPRM adalah bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Saya berpendapat bahawa kita perlu ada satu proses lantikan KP SPRM yang lebih telus, adil supaya pada masa akan datang, tiada orang apabila mereka didakwa. Mereka akan kata itu adalah motif politik.

“Jadi, kita nak tahu apakah mekanisme terbaik yang boleh digunakan untuk memastikan supaya tidak ada orang lagi boleh salahkan SPRM apabila mereka didakwa di mahkamah,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Mahiaddin didakwa terima rasuah RM5 juta dari Bukhary Equity