SPRM dedah identiti ‘Datuk Roy’, bantu siasatan kes Jana Wibawa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan identiti seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai dalang utama dalam kes rasuah berhubung siasatan ke atas program Jana Wibawa.

Suruhanjaya tersebut dalam kenyataan berkata pihaknya kini sedang mengesan individu yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ atau nama sebenarnya Mohd. Hussein Mohd. Nasir, 54.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes SPRM.

“Lelaki tersebut, Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, yang juga dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ mempunyai alamat terakhir di No. 3, Lorong 3 RRM Semambu, 25350 Kuantan, Pahang,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Asyraf Mustafa di talian 013-4405210.

Semalam laporan media menyebut SPRM sedang mengesan Datuk Roy yang dikenal pasti sebagai perancang utama dalam kes rasuah berhubung siasatan ke atas program Jana Wibawa.

Lelaki yang berusia lingkungan 50-an sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.

Memetik sumber pada 9 Mac lalu, seramai empat individu berusia 40 hingga 50 tahun termasuk seorang pegawai SPRM dan seorang wanita telah ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.

Kesemua mereka ditahan setelah disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 daripada individu tertentu kononnya bagi mengelakkan siasatan kes berkenaan.

BACA JUGA: Mahiaddin didakwa terima rasuah RM5 juta dari Bukhary Equity