MB Bersatu untuk Negeri Sembilan: Mahiaddin hanya syok sendiri
Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Yassin, berkenaan persetujuan gabungan itu mengangkat Bersatu sebagai calon Menteri Besar di dua negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH), mengundang sindiran ramai.
Mahiaddin yang merangkap Presiden Bersatu antara lain berkata, majlis Tertinggi PN bersetuju pemimpin daripada Bersatu dilantik Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan, jika blok pembangkang itu menang dalam pilihan raya negeri nanti.
Pun begitu, rata-rata warga maya tidak menyambut baik hasrat bekas Perdana Menteri berkenaan yang dilihat ‘syok sendiri’.
“Sudah-sudahlah berangan, Johor pun tak dapat (Pilihan Raya Negeri Johor) ada hati nak ambil Selangor dan Negeri Sembilan,” kata seorang pengguna di Facebook.
Ada juga berpendapat pengundi lebih tahu parti mana yang mengutamakan kepentingan rakyat.
“Berangan tidak salah, biarkan pengundi yang cerdik tahu menilai parti mana yang mampu ‘bekerja’.
“PRU15 yang lepas, satu kerusi Parlimen (Perikatan Nasional) tak dapat di Negeri Sembilan, semoga berjayalah,” demikian antara komentar netizen.
Selain itu, tidak kurang juga yang mengingatkan keadaan kesihatan Mahiaddin ekoran sabitan tujuh kes rasuah dan salah guna kuasa Ahli Parlimen Pagoh terbabit sewaktu menjadi Perdana Menteri.
“Saya kasihankan Mahiaddin. Hari itu sampai tak boleh tidur sebab teringat di kes mahkamah, tiba-tiba nak umum calon MB (Menteri Besar) Negeri Sembilan dan Selangor mesti orang Bersatu, mungkin dia mengigau ini,” kata seorang pengguna Facebook pula.
Sementara itu, kenyataan Mahiaddin dikongsi dalam satu akaun Negeri Sembilan Kini dengan mendapat sebanyak lebih 400 komen dan 1,200 tanda suka setakat ini.
Pada 10 Mac lalu, Mahiaddin yang dipanggil sebagai ‘Abah’ oleh penyokongnya berdepan enam pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan kesalahan pengubahan wang haram dengan kesemuanya berjumlah RM427.5 juta.
Bekas Menteri Besar Johor berkenaan juga didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, Januari tahun lalu.
Jika disabit kesalahan, mantan Timbalan Perdana Menteri berkenaan boleh disabit penjara maksimum hingga 15 tahun.
BACA JUGA Mahiaddin didakwa terima rasuah RM5 juta dari Bukhary Equity